DEFINISI TERJEMAHAN
DEFINISI TERJEMAHAN
Manusia telah dicipta
dengan pelbagai rupa dan bangsa serta bertutur dalam pelbagai bahasa. Persoalannya disini bagaimanakah manusia
boleh berhubung dan berkomunikasi sedangkan bahasa yang digunakan oleh mereka
tidak sama? Oleh itu timbullah
terjemahan kerana ingin tahu kandungan sesuatu teks yang ditulis dalam bahasa
yang tidak difahami dan menyalurkan ilmu pengetahuan asal kepada pembaca asing.
Definisi terjemahan dapat
ditinjau menerusi dua aspek iaitu kamus dan pandangan sarjana. Maksud terjemahan berdasarkan entri kamus
iaitu menerusi kamus dewan, terjemahan membawa maksud memindahkan karangan
daripada suatu bahasa kepada bahasa lain atau dalam erti kata lain
mengalihbahasakan. Menurut Mu’jam
al-mustalahat al-Arabiyyah fi al-lughah wa al-adab (1984: 94) pula
mentakrifkan terjemahan sebagai menulis semula sesuatu perkara atau topik
dengan bahasa yang bukan bahasa asalnya.
The Consice Oxford English Dictionary sebagai the act or instance
of translating and a written or spoken expression of the meaning of a word,
speech, book in another language.
Menerusi definisi ini, fokus makna pertama ialah tindakan atau proses
yang berlaku iaitu aktiviti penterjemahan atau pemindahan maklumat yang berlaku
terhadap teks sumber. Manakala fokus
makna kedua pula ialah produk terjemahan yang dihasilkan oleh penterjemah.
DEFINISI
MENURUT SARJANA
Definisi terjemahan menurut
pandangan sarjana pula yang terdiri daripada beberapa contoh sarjana iaitu Catford
(1965), Finlay (1971), Nida dan Taber (1974), Brislin (1976), Newmark (1981),
Larson (1984) dan Bell (1991). Catford
mengatakan terjemahan membawa maksud penggantian bahan teks dalam sesuatu
bahasa (bahasa sumber) dengan bahan yang sepadan dalam bahasa lain (bahasa
sasaran). Menurut Finlay dan Bell pula,
mereka mengatakan bahawa individu atau program komputer yang bertindak
memindahkan teks daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain dinamakan
sebagai penterjemah (translator), manakala disiplin ilmu yang berkaitan dengan
hal ehwal penghasilan terjemahan dikenali sebagai kajian penterjemahan
(translation studies). Namun Finlay
menekankan elemen bertulis apabila mendefinisikan ‘terjemahan’ dan membezakan
antara ‘terjemahan’ dengan ‘interpretasi’.
Dalam The Theory and
practice of translation, Nida dan Taber mentakrifkan penterjemahan sebagai
“menghasilkan semula dalam bahasa sasaran padanan paling hampir dan sesuai
dengan bahasa sumber, pertama sekali dari segi maknanya, dan keduanya dari segi
gaya penulisan”. Menurut Brislin pula, “
istilah am yang merujuk pemindahan buah fikiran dan idea daripada satu bahasa
kepada bahasa yang lain, sama ada secara bertulis atau lisan”. Manakala Newmark pula mengatakan “ usaha
menggantika mesej atau pernyataan yang bertulis dalam satu bahasa dengan mesej
atau kenyataan dalam bahasa lain”.
Larson (1984) mendefinisikan terjemahan terdiri daripada aktiviti
mengkaji leksikon, struktur nahu, situasi komunikasi dan konteks budaya teks
bahasa sasaran, menganalisanya supaya maknanya ditentukan dan kemudian membina
semula makna ini dengan menggunakan leksikon dan struktur nahu yang sesuai
dalam bahasa penerima dan konteks budayanya.
Bell dan Bassnett menyentuh kepentingan mengekalkan elemen tatabahasa
dan leksikal dalam pemindahan. Semua
fakta yang terkandung dalam teks sumber harus dikekalkan dalam teks
sasaran. Penggantian mesej teks sumber
yang sepadan turut diadakan dalam bahasa sasaran. Menurut Bell lagi, terjemahan adalah ungkapan
dalam bahasa lain terhadap apa yang telah
dinyatakan atau diungkapkan dalam bahasa asal dengan memelihara padanan
semantik dan juga padanan gaya.
Penterjemahan dan makna
saling berhubung kait antara satu sama lain.
Teori terjemahan perlu digabungkan dengan teori semantik untuk
menghasilkan terjemahan yang benar-benar bermutu dan mampu menyampaikan maklumat
sebenar kepada pembaca sasaran. Teori
semantic secara ringkasnya terhasil daripada kajian tentang makna. Makna merupakan idea atau konsep yang boleh
dipindahkan. Pemahaman tentang makna
adalah selaras dengan hal ehwal yang berkaitan dengan penterjemahan. Penterjemahan adalah bukan kajian makna
semata-mata, namun hubungan antara kerja penterjemahan dengan aspek makna
adalah rapat.
KESIMPULAN
Secara kesimpulan
definisi diatas, terjemahan adalah maksud, mesej, bahan teks atau buah fikiran
daripada bahasa sumber yang hendak disalurkan atau dipindahkan ke dalam bahasa
sasaran. Proses dalam menyampaikan
segala mesej dalam bahasa sumber ke dalam bahasa sasaran dengan sedapat mungkin
mengekalkan segala mesej bahasa sumber dengan tepat, ciri-ciri kebudayaan yang
ada didalamnya, gaya penulisan asal dan ciri-ciri indiosinkratiknya yang
istimewa yang mungkin ada di dalamnya.
selamat membaca....terima kasih
Comments
Post a Comment